✖

Pisau cukur Hanlon: lebih mungkin kebodohan daripada niat jahat

Pisau cukur Hanlon memberitahu kita supaya tidak menyangka yang paling buruk tentang orang lain. Pisau cukur Hanlon paling kerap diungkapkan dengan aforisme berikut:

Jangan cari niat jahat jika kebodohan sudah cukup untuk menjelaskannya.

Kita sebagai manusia sering cenderung melihat dunia dari sudut yang paling buruk dan menjangkakan yang paling buruk daripada orang lain. Pelayan restoran menumpahkan teh tarik ke atas kita? Tentu dia sengaja melakukannya kerana kita terlupa memberi salam kepadanya. Ketua kita tidak meluluskan cuti kita? Tentu dia membalas dendam kerana keputusan suku tahun yang buruk. Kuar Mars Climate Orbiter terbakar dalam atmosfera Marikh? Tentu ada orang yang mensabotaj kerja saintifik NASA!

Mudah untuk melihat niat jahat dalam kes seperti ini, kerana kita memperoleh penjelasan yang jelas tentang apa yang berlaku. Pelayan yang telah bekerja di restoran itu selama lima tahun takkanlah begitu cuai sehingga menumpahkan teh tarik ke atas kita, jadi mesti ada niat jahat! Sebenarnya, jauh lebih mungkin dia tergelincir kerana air yang ditumpahkan oleh seorang kanak-kanak dari meja sebelah, lalu tertumpah teh tarik secara tidak sengaja. Ketua kita yang agak berusia pula tidak begitu mahir menggunakan komputer dan tidak tahu menetapkan pemberitahuan. Jadi, dia tidak tahu pun tentang permohonan cuti yang kita hantar dalam sistem. Bagaimana pula dengan kuar Climate Orbiter? Kuar itu memang terbakar dalam atmosfera Marikh pada tahun 1999 kerana dua pasukan (NASA dan syarikat Lockheed Martin yang membina kuar itu) tidak bersetuju sama ada hendak menggunakan sistem metrik (iaitu meter, kilogram dan sebagainya) atau sistem imperial (iaitu kaki, paun dan sebagainya). Akhirnya, setiap pasukan secara tidak sengaja menggunakan sistem yang berlainan, dan hal ini menyebabkan bencana itu.

Adakah anda sendiri jahat?

Anda boleh membayangkannya pada diri anda sendiri: berapa kalikah anda menyakiti seseorang dengan sengaja, dengan niat jahat? Dan berapa kalikah anda hanya terlupa sesuatu? Tidak perasan sesuatu? Melainkan anda seorang psikopat, kesilapan akibat tidak berhati-hati, kecuaian atau kebodohan jauh lebih kerap berlaku daripada niat jahat.

Kita juga boleh melihat pelbagai teori konspirasi dengan cara yang sama. Kita mungkin menyangka bahawa kerajaan, ahli politik dan semua orang di sekeliling kita cuba menipu kita, dan semua orang bertindak untuk memperhambakan kita. Apabila kita berfikir takkanlah mereka begitu bodoh sehingga melakukan XYZ, ingatlah pisau cukur Hanlon: jauh lebih mungkin mereka memang begitu bodoh.

Adakah kejahatan benar-benar tidak wujud di dunia?

Tentu sahaja kejahatan wujud di dunia. Pisau cukur Hanlon hanya memberitahu kita bahawa niat jahat tidak patut menjadi perkara pertama yang terlintas di fikiran apabila kita menghadapi sesuatu masalah. Biasanya, ketidakcekapan atau kesilapan seseorang ialah penjelasan yang lebih mungkin daripada niat jahat seseorang. Namun, kadangkala punca utamanya memang niat jahat seseorang. Dunia ini bukan tempat yang sempurna untuk didiami.

Sumber dan bacaan lanjut

Kandungan: Pisau cukur Ockham: penjelasan yang lebih mudah biasanya lebih tepat, Pisau cukur Hanlon: lebih mungkin kebodohan daripada niat jahat